abang, tunggulah diriku walau seribu tahun

pb040008Kelip-kelip disangka api, kalau api mana puntungnya, hilang ghaib di sangka mati, kalau mati mana kuburnya…

Bermundaran mandir berbolak hati terasanya perit jiwa ingin menulis nukilan ini.

Jauh dibenak, kisah sebegini harusnya dikunci berkaratan di dasar lautan. Mungkin jua dibiar hanyut jatuh ke jurang dasaran, tiada dipedulikan.

Apakan daya hasrat itu, kekadang bila hati keseorangan, rindu yang menerpa menitis jua air mata.

Walau sukar diterjemah minda, berfikiran pendek sepanjang mana pun, sedosa mana bila seorang adik berkisahan warkah hidup seorang insan bergelar abang…

…walau ia jua tak selama mana.

Kisah bermula apabila seorang ibu kepingan seorang anak lelaki, sudahnya si ibu punya anak sulung jua seorang anak perempuan.

Tetiap malam gembira hatinya menyedari akan dia sedang mengandung zuriat kedua. Berharian, si ibu bercerita pada seisi kampung, anak itu diharap akannya seorang anak lelaki.

Anak lelaki yang bakal mengubah hidup tiga sekeluarga; setidaknya bakal membantu si ayah bercucuk tanam di bendang jua bakal menjadi panduan si adik-adik yang akan tiba di hari yang mendatang.

Si ibu tersenyum walau susah mengandung berat, jerih perit kandung si anak yang itu. Si ibu tahu, kali ini Tuhan bakal mengabulkan doanya.

Walau sering bertelagahan, sependapat tidak, si ibu dengan ibunya, dia tahu ibunya sungguh jua berharap anak perempuannya yang satu itu punya anak lelaki juga. Entah mengapa, si ibu betul-betul kasih pada ibunya walau kekadang dirasakan perit dipaksa si ibu membuat segala kerja.

Sembilan bulan berlalu, hajat si ibu dimakbulkan Tuhan jua…

Lahirlah seorang anak lelaki, tersayang hati si ibu, hitungnya tiada terkira.

Hitam mata, bulat menagih hati kasih. Hitam manis, belai manja didodoi masih.

Sayang si ibu pada si anak lelaki di luar kebiasaan, seakan pendek kekal usianya, tiada bandingan, sekali pun tidak berenggangan walau ke kamar tidur.

Di hari ke tiga puluh, peristiwa berlaku.

Si ibu tidur nyenyak di sisi si anak lelaki, didatanginya asing seorang tua, duduk di sisi si ibu dan berkata, “Nak (anak), datuk datang hendak mengambil anakmu”

Si ibu enggan!

Memanggil jerit nama ibunya. Berlari ibu si ibu merampas si anak lelaki dari tangan si tua.

Dirampas kembali si tua!

Lalu ibu si ibu tersungkur ke dinding bergelutan… si ibu bangun dan menerpa pada si tua, merampas kembali anak kesayangan.

Di pukul kuat bertalu-talu, belakang si tua – sehingga hilang dari igauan. Menangis tiada henti si anak lelaki terkulai ke lantai.

Huh…

Si ibu tersedar, rupanya hanya sekadar mimpi… namun si anak lelaki, terbaring di sisi, sunyi sudah tiada lagi, menjerit tangis tidak henti.

Lebam seluruh badan dipukul si ibu… tiada kesedaran. Maka menangislah si ibu tiada henti, berdosa rasa di segenap air mata menitis.

Sayang si ibu deritanya tak lama, si anak lelaki bertemu Tuhan jua tiada sempat sepurnama. Siksanya tangis tiada henti, dari Isyak ke subuh hingga terang syuruk mencecah maghrib.

Tiada mampu lagi ditahan si ibu.

Si ibu pasrah, pasrah sehingga tiada lagi si anak lelaki dikandungnya pada 4 anak yang mendatang.

Di petang 25hb Disember 1976, hajat si ibu akhirnya termakbul jua – mungkin kerna sudah hilang rasa dosanya. Rupanya si anak lelaki yang ini, tetap jua mengenangkannya pada si anak lelaki yang tiada dapat dibesarkannya.

Di hari si ibu berangkat ke rumah Allah, tiada yang lain tangisannya, teringin sangat meminta ampun dan jua bertemuan walau sekilas, si anak lelaki di kota Kaabah.

Di malam raya, tiada yang lain dipohon si ibu pada anak-anaknya, agar mendoakan si anak lelaki yang tidak sempat melihat adik-adiknya.

Kata si ibu lagi, anak yang bertemu Tuhan di usia yang muda, berseri wajahnya bermain riang di Syurga.

Bakal menanti datang si ibu di pintu Barakah.

Abang, di hari kelahiran ku ini, tiada jua kudoakan panjangnya umurku ini pada Tuhan Yang Esa, bukan kerna dirimu…

Agarku sihat mampu menjaga ibu sehingga akhir hayatnya…

Kerna pabila ibu berangkat ke sana…

Tunggulah ibu di pintu Syurga, walau seribu tahun jua lamanya…

Kerna… adikmu ini belum pasti akhirnya ke sana…

Kisah benar nukilan,

_wahaza extra
25th December 2008


to “abang, tunggulah diriku walau seribu tahun”

Leave a Reply

CommentLuv badge
Blog Widget by LinkWithin