Indah – Bab 1
1st chapter of my book, INDAH. Happy reading, don’t forget to leave your comment.
* * *
Hijau. Bergenang. Kelopak mata berkelipan.
Tanah lapang di kaki bukit, hijau dipenuhi rumput. Seri bau tropika kawasan berwangian harum. Titik hujan jatuh ke pipi. Berkerdip mata itu, kehijauan membasah alis.
Indah bangkit.
Deru angin sesejuk salju terjah ke muka. Berlari anak dia, menyusur denai berbatuan kecil. Gigian anak sungai berliku alur dituju. Angin bertiup perlahan mengalun panjang rambut di paras bahu. Berat titisan air hujan jarang di sana-sini mula memecah ketenangan.
Kesejukan gerimis di tengahari itu terasa pada bahu yang terdedah lebar. Indah suasana itu seindah nama.
Hujan tak semena berhenti begitu sahaja. Kalih dia mengadap ke langit. Biru memenuhi ruang. Sinar terik merobek damai. Penambah seri syurga duniawi itu. Kicauan beburung kedengaran dari pohon-pohon rendang berdekatan.
Indah memelodi langkahnya, kembali. Segar bebunga lalang berterbangan tiada haluan ditiup angin. Terpa ke muka bersilihan ganti, putih berdebu menyentuh wajah.
Dihadang telapak tangan menepis perlahan. Mata Indah melilau mencari sesuatu. Jauh di pinggir anak sungai, dia menumpu pandang.
Gadis bersimpuhan, samar dibias maya terik matahari. Putih si dia bertudung litup.
Indah menghampiri dekat. Si gadis berwajah lonjong menconteng kertas. Mengabdi aksi-aksi watakan alam pada sekeping lukisan.
Bakat si dia terserlah jelas.
“Siti” tegur Indah. “Cantik” katanya lagi.
Aturan Bahasa Melayunya tohor. Siti Zubeidah diam. Tidak berbalas jawaban. Keringat timbul di wajah. Disapu jemari halus. Tangan kembali mencalit warna-warni lukisan. Anak sungai berdepan menjadi sumber inspirasinya, sering.
Hati bersyukur dapat hidup setenang itu. Di Bukit Teján.
“Siti” Indah bertegur lagi. “Esok ada masa lapang tak?” Menunggu patah Siti Zubiedah, gadis Melayu berkulit sawo-matang.
“Lepas kuliah jam tiga, mungkin?” Siti Zubeidah menjawab lembut, masih ragu.
“Bila boleh siap ni?” tanya Indah. “Untuk aku ke?” sambungnya cepat.
“Untuk kamu?” Siti Zubeidah menjeling ke atas. Sindiran dalam diam. Berus di tangan diletak rapi.
“Lukisan itu untuk aku ke?” seloroh Indah.
“Belum pasti” jari mencalit bogel ke lukisan, dia tersenyum.
“Aku nak balik. Dah tengahari ni. Sejam lagi ibu pulang” Indah berterang penuh sahaja.
Beredar Indah sendirian. Berpaling pada Siti Zubeidah.
Kawan, mungkin lebih dari itu. Bertuah dia mengenali Siti Zubeidah, seakrab itu. Sukar gadis sepertinya dapat beraur tebing, berkawan dengan gadis seperti Siti Zubeidah. Mungkin tanpa ada serong dipandang masyarakat.
“Jangan lupa janji kita!” Siti Zubeidah berteriak dari kaki bukit.
Pasti jua keserasian itu muncul kerana keberanian Siti Zubeidah untuk tidak mengendahkan halangan perbezaan di antara mereka.
Indah tersenyum. Penuh makna. Seribu tanda tanya.
Dilambainya tangan. Tanda pemergiaannya dari Bukit Teján.
Indah menapak kaki mendaki ke puncak bukit.
Semakin terang, semakin hitam. Langit kelihatan, dari ufuk barat.
Indah berdiri. Di puncak. Damai tadi terasa dicabul tanpa ihsan. Nun jauh, arus kemodenan mencabar perasaan.
Bangunan-bangunan pencakar langit memenuhi setiap ruang mata. Indah akur. Pada arus zaman.
Hati berkeluhan, mata bertatapan.
Rakus. Kota Malaysia, di tahun 2108. Hitam masa depannya, terasa kelam.
* * *
Suasana dingin pagi menyelubungi keseluruhan pusat pengajian tinggi utama Kota Malaysia. Kampus universiti berdiri megah di atas bukit. Pelajar-pelajar Universiti Presigé berpeleseran di kawasan yang tidak seluas mana itu.
Di satu sudut, gadis si cantik molek berlarian pada lantai batu merentasi kawasan universiti. Jalur-jalur merah membentuk nombor-nombor masa berlegaran di ruang angkasa universiti.
Melewati sejengkal pukul 9.00 pagi.
Indah membelok ke kanan. Terus ke pintu utama dewan kuliah utama yang megah di tengah–tengah kawasan kampus.
Ditujunya laju.
Cepat-cepat dia cuba melepasi kawalan keselamatan dan menyelit di antara beberapa orang pelajar yang berbual kosong di depan pintu utama dewan.
Serentak dengan langkah pertamanya siulan dari pelajar lelaki menusuk ke gegendang telinga.
Tidak dipeduli.
Indah maju ke tengah-tengah dewan.
“Tak nak kena kacau, datang awal lain kali” sapa Siti Zubeidah menarik tangan Indah tanpa disedari.
Siti Zubeidah beralih ke tempat duduk bersebelah. Indah terus melabuh punggung ke kerusi yang dikosongkannya. Beg sandang Indah diletak ke sisi. Seorang lelaki yang berpakaian tentera muncul dari tengah dewan kuliah.
Tumpuan Indah segera pada sinar putih terpancar dari tiang kaca berhadapan. Disarungnya cepat alat pandang dengar. Tulisan dan rajah lakaran terlukis pada wajahnya dibentuk dari sinar itu. Tumpuannya terus pada syarahan lelaki itu.
Garau menerjah suara pensyarah jelas ke telinga.
Sistem pembelajaran universiti itu semakin hari semakin membosankannya. Tidak sekali serasi baginya, pihak pemerintah menyebarkan propaganda dengan mengawal emosi setiap fikiran pelajar menerusi cara itu. Sepatutnya pelajaran mendidik perasaan individu dan membentuk ihsan diri dan bukan dengan cara menentukan sel-sel otak akan baik buruk sesuatu idea yang tersimpan di dalam kotak pemikiran itu.
Namun, kebencian itu terpaksa ditolaknya ke tepi. Universiti Presigé adalah satu-satunya pusat pendidikan tinggi yang dibenarkan oleh pemerintahan Kota Malaysia. Kelulusan dari universiti itu menjadi kepentingan utama setiap individu yang bergelar rakyat Kota Malaysia.
Seseorang yang punya ilmu barulah mampu menjadi seorang yang berkuasa. Tidak
kisah ianya ilmu yang betul atau salah.
Falsafah yang sering diutara oleh Presiden Kesatuan Malaysia.
Sejam berlalu bagai begitu sahaja. Tidak jauh berhampiran, seorang gadis masih termenung memerhati Indah tidak henti.
Szajár, gadis sektor B-11.
Kecantikan, kepandaian, keramahan dan semua sifat Indah menjelakkannya. Dia benci dengan ketidak-ada-apa-apaan yang Indah tonjolkan dari persahabatan. Pergaulan Indah dengan pelajar B-13 seolah mencabul kehormatan peraturan sektornya. Walau larangan tiada dihitam-putih, namun sudah diketahui umum perbalahan lama di antara sektor B-13 dan sektor B-11, menghalang sebarang jalinan ikatan persahabatan.
Sektor B-11 ditubuh berkesempatan dari tamatnya perang saudara pada tahun 2080. Terdiri dari golongan penduduk Kesatuan Malaysia berketurunan Melayu yang tidak lagi terikat pada agama dan adat. Ideologi yang mula menular pada bangsa Melayu sejak awal abad itu. Manakala di Sektor B-13, tinggalan saki baki bangsa Melayu yang masih tetap mengamalkan agama dan adat turun temurun.
Perbezaan itulah cuba ditegak Szajár.
Dia tersedar dari lamunan. Lampu merah di sisi tiang kaca berkelipan. Ruang-ruang fikirannya terhalang oleh emosi amarahnya.
Nampaknya pembelajaran pagi itu terganggu banyak.
* * *
Lima jam kuliah yang memenatkan, berakhir di tengah hari. Indah menyandar ke belakang mengambil rehat. Bebola kristal berpusing-pusing yang pada hujung puncak tiang kaca dimasuk ke dalam kotak kecil dan disimpan bersama beg sandang berwarna ungu bersebelahannya.
Dia memandang ke sisi.
Kosong.
Siti Zubeidah tiada. Lekas dia bangun dari situ mencari kelibat gadis itu. Jauh di depan dewan, Siti Zubeidah yang asyik berbual dengan gadis B-14.
Ketabahan gadis Melayu itu menghadapi situasi kegagalan dengan penuh matang mengagumkannya. Kegagalan tidak pernah menjadi sebab untuk Siti Zubeidah putus asa. Walau setelah dua kali gadis bertudung litup itu gagal dalam peperiksaan utama, semangat tidak pernah luntur untuk belajar lagi.
Siti Zubeidah berpaling ke arah Indah jauh di tengah dewan. Dia akan sentiasa menerima Indah sebagai kawan selagi ada kemahuan dari gadis itu. Ketelusan pendirian untuk tidak mengira siapa atau dari mana mereka berasal merapatkan lagi ikatan persahabatan mereka. Kerana itu dia dan Indah terus berkawan tanpa ada rasa janggal. Punya hati dan perasaan yang sama. Terkadang terasa misteri padanya.
“Hai, apa khabar?” sapa Indah kepada gadis B-14 apabila muncul di sisi Siti Zubeidah.
“Siti, aku balik dulu” balas gadis B-14 itu tanpa menjawab pertanyaan Indah tadi.
Siti Zubeidah membuka langkah menuju ke pintu besar dewan. Setelah melewati kawalan keselamatan, dia menarik lengan Indah kuat.
“Indah. Siti dah pesan. Jangan sekali guna Bahasa Melayu dalam kawasan kampus. Tengoklah tadi. Nasib baik budak tu dari sektor B-14. Kalau dari sektor lain, macamana?” Siti Zubeidah mencengkam lengan Indah sambil menyorot ganas ke dalam mata.
Indah diam.
Tanpa sepatah kata.
Kesal. Tidak pula. Kenapa perlu beralah dengan peraturan yang salah? Namun, dia tahu perbuatan seperti itu telah mengungkit kemarahan Siti Zubeidah. Tunduk matanya, terus ke lantai kaki lima automatik.
“Lain kali, berhati-hati” Siti Zubeidah memujuk, sambil jari-jemarinya mengusap lembut rambut perang Indah. “Siti tak marah, tapi Siti tak mahu Indah diperkatakan orang. Bukan Indah tidak tahu, Bahasa Melayu dilarang sama sekali dalam kampus ni. Tak pasal-pasal nanti kita dicurigai kawan-kawan yang lain” luah Siti Zubeidah dalam bahasa Sektor B-11.
Indah mengangkat wajah. Seceria biasa.
Kejelitaan menyerlah ibarat bulan purnama.
Mereka menyusuri jalan Sáng Rouge. Merentangi kawasan kampus dari dewan utama ke pintu utama Universiti Presigé. Di sepanjang jalan, pelajar-pelajar berpusu-pusu keluar dari celah-celah bangunan kecil meninggalkan kawasan kampus menghala ke arah kota metropolitan, di utara.
Berdua, mereka melintasi jambatan Kárche Riftzo yang memisahkan kawasan kampus dan kesibukan kota. Nama yang indah dalam bahasa sektor C-9 sebenarnya dibenci Siti Zubeidah kerana berkisar tentang perempuan pembelot. Penggunaan nama itu seakan menghina martabat seorang perempuan sepertinya.
Záfgit bermiripkan kereta, tidak henti melintasi ruang udara. Kebengitan bunyi kenderaan itu sudah sebati dengan suasana kota. Akhirnya mereka sampai di persimpangan jalan terus membelok ke sebatang jalan menuju ke sebuah taman. Bangunan yang berpuluhan tingkat memenuhi kedua-dua belah jalan yang disusuri.
“Sana?” tanya Indah dan tangannnya menunding ke arah sebuah taman di celah-celah bangunan pencakar langit.
Siti Zubeidah mengangguk sahaja. Setuju dengan cadangan Indah. Mereka turun dari kaki lima itu dan melintasi jambatan keluli untuk terus ke taman tersebut.
Taman Feqsukáh Rámniyt.
Bagi sektor B-13, wujudnya taman itu adalah sebagai satu tanda memperingati susah payah seorang gadis memperjuang martabat bangsa Melayu. Taman yang sering menjadi pilihan hati Indah dan Siti Zubeidah untuk berbicara, terpelihara dengan sebaiknya. Bagi seorang pencinta alam seperti Siti Zubeidah, keindahan Kota Malaysia yang masih ada, harus dipelihara. Dua minggu yang sudah, dia seia sekata bersama pencinta alam yang lain berarak di pintu masuk taman tersebut membangkang hasrat pihak pemerintah untuk membina pusat ujian keselamatan di atas tapak taman itu.
Lantang ditentangnya hebat.
“Siti, apa kata kita duduk situ” Indah memandang tepat ke arah kerusi di bawah rimbunan pohon. Matanya mengerling ke arah Siti Zubeidah beberapa saat kemudian.
“Siti tak kisah. Tapi Indah kena hati-hati” suara halus Siti Zubeidah betul-betul mengasyikkan. Bahasa Sektor B-9 digunanya fasih walau bukan bahasa yang digemari oleh semua orang.
Indah tidak terus duduk di situ, sebaliknya menuju ke hujung taman. Sesekali dia memandang keadaan di sekitar taman tersebut. Ada mata-mata yang asyik memerhatikan mereka. Perbezaan pakaian kekadang menghairankan orang ramai. Siti Zubeidah yang mengenakan baju panjang bertudung litup dan Indah yang mengenakan baju Fdiyuj, baju rasmi B-11 berwarna merah. Keganjilan itu dihiraunya tidak, Siti Zubeidah dan Indah melangkah tanpa ragu.
“Indah dah baca buku tu sampai mana?” sapa Siti Zubeidah.
“Sampai pengeboman upacara pembukaan sukan olimpik?” jawab Indah terus duduk di kerusi kaca.
“Apa yang terjadi?”
Indah memulakan cerita. Dari satu subjek ke satu subjek yang lain cuba menerangkan apa yang telah dibacanya. Siti Zubeidah tekun mendengar, kesungguhannya jelas. Apa yang dikongsi Indah dalam Bahasa Melayu cuba difahami. Dia mahu Indah terus bercerita dalam bahasa Melayu supaya tidak difahami oleh orang ramai yang mungkin mencuri dengar.
Dengan mengunakan perkataan yang mudah, Indah mengungkitkan bagaimana penubuhan Gerakan Pembebasan Melayu sehinggalah peristiwa pengeboman Sukan Olimpik 2036. Siti Zubeidah terkadang mengigit bibir, terasa keperitan mengenang nasib bangsanya yang semakin hari semakis terhapus dari dunia ini. Sesekali Indah mengenggam tangan Siti Zubediah, menenangkan gadis itu.
“Betul ke Indah?”
“Betul. Ini cetakan pertama” Indah mengangguk mengiakan persoalan Siti Zubeidah. “Nanti Siti bacalah, Indah nak habiskan dulu” sambungnya.
Setelah hampir sejam mereka di situ, semakin ramai orang melintas di hadapan. Siti Zubeidah cepat-cepat menyorok buku merah itu.
“Kenapa?” Indah hairan.
“Orang dah ramailah Indah” Siti Zubeidah berkata perlahan.
“Balik?”
“Ya”
Mereka berdua beredar dari situ.
Setelah melewati dua buah bangunan berbentuk semi bulatan, Siti Zubeidah memandang hairan menyedari Indah melangkah laju meninggalkannya.
Indah berpaling.
“Indah lupa, ibu janji nak jumpa Indah jam dua. Dah lewat ni” Tangannya menunding ke arah jam besar yang terapung di angkasa bandar metropolitan itu.
Siti Zubeidah mengangguk, mengiakan. Dia leka memandang Indah yang semakin menghilang dalam kesibukan kota. Samar-samar kelihatan Indah sedang berhimpit-himpit di celah orang ramai. Siti Zubeidah berpatah balik ke arah persimpangan Mhyizhoflar Jukticb atau juga dikenali sebagai Zulfikar Shah, memperingati seorang putera raja yang terkorban ketika pemberontakan Gerakan Pembebasan Melayu.
Siti Zubeidah melangkah terus ke sektor B-13 di timur kepulauan Malaysia. Pelbagai bangsa manusia keluar dari jalan itu untuk ke Pusat Bandaraya. Pakaian pelbagai warna mewarnai suasana kesuraman bandar metropolitan itu. Siti Zubeidah berasak-asak di antara orang ramai yang berpusu-pusu ke pusat bandaraya mencari hala tuju masing-masing.
Mungkin mencari keseronokan.
Mungkin juga menambah pendapatan dan sebarang kemungkinan lain. Kerap bermain di fikiran di kala itu adalah nasib bangsanya. Mampukah anak-anak bangsa Melayu sepertinya mendokong dan mempertahankannya untuk generasi masa hadapan.
Terlintas jauh di hati perbualan bersama Indah, dua hari yang lepas.
Jelas dan terang.
* * *
“Bangsaku sekadar melukut di tepi gantang, Indah. Bilalah agaknya aku boleh dapat mengecapi kembali apa yang orang-orang dulu kecapi? Sampai bila aku harus tunggu” keluh Siti Zubeidah, air mata mengalir di pipi menyusur di lesung pipit dan terus membasahi telekung yang dipakainya.
“Siti, sabarlah. Indah janji, Indah akan cuba tegakkan bangsa Melayu ini”
“Tapi Indah. Indah bukan berketurunan Melayu dulu. Indah Melayu abad ini”
“Siapa kata Siti? Kita sama, dari satu rumpun yang satu. Sudah nasib Indah lahir dari perut seorang ibu yang berketurunan Melayu baru. Tapi darah Melayu juga yang membentuk Indah. Ia masih mengalir dalam jiwa ini, Siti” tegasnya.
“Sudah nasib kita agaknya” Siti Zubeidah mengeluh panjang.
Pilu. Hati itu sepi seketika. Air mata sudah kehabisan. Dia cuba tenang walau punah hatinya robek.
Tidak pula pada Indah. Tidak goyah pendiriannya. Teguh. Baginya tiada tangisan perlu dicurah sia-sia kerana dia tahu semangat bangsa Melayu itu masih ada padanya. Dia membuka mulut.
Kata-kata dalam bahasa sektor B-11 sukar difaham Siti Zubeidah. Terhenti celoteh kosongnya bila bahu ditepuk kuat Siti Zubeidah.
Indah tersenyum. Berbaur lucu.
Diikuti ketawa kecil yang membuatkan Siti Zubeidah tersenyum kembali.
“Tak usah bersedih lagi, Siti” Indah mengeluarkan bait-bait itu bercampur ketawa yang tak mampu lagi ditahannya.
Siti Zubeidah ketawa sama.
“Indah tahu tak buku Sejarah Kesatuan Melayu?” ujar Siti Zubeidah.
“Tahu, dah dihapus pihak pemerintah” jelas Indah.
“Ha ah. Ayah pernah cakap, selepas sahaja Gerakan Pembebasan Melayu ditubuhkan, penentang-penentang bangsa Melayu telah berpakat. Secara diam mereka melancarkan strategi di sebalik pentadbiran negara dengan menangkap pejuang-pejuang bangsa Melayu ini. Beberapa tahun kemudian, kebanyakan pejuang-pejuang ini dibunuh secara rahsia. Selebihnya berpecah dan melarikan diri dari Malaysia. Tak lama selepas itu perang saudara meletus, waktu itu hampir semua warisan dan catatan sejarah bangsa Melayu dimusnahkan pihak pemerintah….” terang Siti Zubeidah panjang.
“Ish… hebat jugak. Mana nak cari buku tu?” Indah mencelah tanpa sempat Siti Zubeidah menghabiskan cerita.
Indah mengelak apabila Siti Zubeidah cuba mencubit lengannya. Satu ketawa besar keluar dari mulutnya. Dia memegang perut menahan ketawa.
Siti Zubeidah tersenyum.
Riang dalam duka.
* * *
Siti Zubeidah tersenyum meleret mengenangkan telatah mereka berdua di Bukit Teján dua minggu lalu. Siti Zubeidah mendongak ke atas, pintu gerbang besi waja berukir seni ukiran Melayu tersergam indah.
Sempadan sektor B-13.
* * *
Hampir setengah jam, Szajár berlegar-legar di perkarangan Dewan Kuliah Utama mencari kelibat Indah yang telah menghilang diri. Semuanya gara-gara dia leka dan tidak berfikiran kosong.
Sudah kebiasaan.
Sementelahlah. Pengajar-pengajar di Universiti Presigé sering meradang dengan sikap Szajár. Mereka terpaksa mengambil lebih masa demi untuk membantu kelekaan seorang anak pentadbir universiti itu. Jika mereka tidak berbuat sedemikian pasti satu perkara buruk akan menimpa kerjaya mereka.
Szajár memandang di sekeliling, hanya tinggal beberapa orang pelajar sahaja yang masih terpacak di perkarangan dewan itu. Dia beredar dari situ. Melangkah terus ke kaki lima automatik. Masih belum terfikir arah tujuannya.
Disusuri jalan-jalan utama bandaraya. Dia mendongak ke atas. Sehingga matanya tidak mampu lagi menatap kesayupan puncak bangunan-bangunan pencakar langit yang berdiri teguh di sepanjang jalan itu. Puncak tiang-tiang batu berisi manusia itu jarang sekali boleh dilihat oleh pandangan biasa. Kebanyakan masa, jerebu hitam menyelubungi udara. Sehingga sukar sekali sirna matahari untuk mencium permukaan tanah. Di persimpangan Mhyizhoflár Jukticb, dia turun dari lorong itu. Tiba-tiba pandangannya tertumpu pada sepasang gadis yang cukup dikenali.
Szajár berselindung disebalik patung gangsa Feqsukáh Rámniyt di sisi pintu pagar. Telatah dua gadis itu mula menyemarakkan amarahnya.
“Oh Indah. Ini sudah melampau, akan ku laporkan pada ibu”
Szajár memerhati dari jauh perbualan Indah dengan Siti Zubeidah sehinggalah dia pasti Indah telah berpisah dengan gadis B-13 itu. Dia menyeluk saku pakaiannya dan menggenggam sebentuk permata merah. Dikenakan tyahidu itu pada rantai yang dipakainya. Serentak dengan itu satu holigram keluar dari hujung permata.
Beberapa saat kemudian wajah Martiqa, ibu Indah terpancar di dalam holigram.
“Martiqa, ini Szajár.” Terangnya.
“Ada apa Szajár?” satu suara keluar dari holigram itu
“Martiqa, tadi Szajár nampak Indah dengan kawannya dari B-13.”
“Kenapa?” Martiqa melayan anak saudaranya itu. “Baiklah. Szajár tunggu, sekejap lagi Iqa datang”
“Di mana ni?” sambung Martiqa lagi.
“Feqsukáh Rámniyt.”
“Oh!” Martiqa hilang dari pandangan Szajár.
Szajár mundar-mandir di depan pintu pagar taman itu. Telatahnya menjadi bahan ketawa kecil orang ramai. Dia kekalutan. Seorang kanak-kanak lelaki lengkungan 5 tahun menarik-narik pakaiannya yang labuh hingga ke paras lutut. Tanpa disedari sebuah Záfgit merah mendarat di bahu jalan.
Ditepis tangan budak itu.
“Martiqa, ayuh kita pulang” dia kegirangan.
* * *
Martiqa memandu Zafgit terus ke garaj kaca di bawah rumahnya.
Enjin dimatikan. Dia melangkah keluar berhati-hati. Ditekan suis di sudut kiri garaj. Struktur kaca itu kemudiannya beransur-ansur menjadi gelap. Szajár di belakang mengekori rapat.
Martiqa meletakkan telapak tangan kanannya di atas jalur cahaya di tiang pintu rumah. Sistem kawalan ketat di rumah itu menjadi contoh kepada sesetengah penduduk B-11. Sebagai seorang ketua kawasan, Martiqa harus sentiasa melakukan sesuatu yang berguna kepada penduduk kawasannya.
Szajár mengambil gelas kaca yang tersimpan di bawah meja. Lalu disorong gelas tersebut ke dalam satu ruang yang berbentuk sfera pada dinding rumah.
Erwádf, sejenis minuman.
Gelas itu mula dipenuhi dengan cecair berwarna hijau. Szajár perlahan menuju ke arah kerusi yang berada di tengah-tengah ruang tamu. Dia memandang ke lantai. Kelihatan kepulan-kepulan asap seakan berenang-berenang di dalam air yang terdapat di bawah permukaan lantai kaca. Diteguk air hijau itu. Tanpa henti.
Seketika sinar cahaya yang memisahkah luar dan dalam rumah, hilang. Indah melangkah masuk.
Tidak dihiraukan.
“Eh Szajár! Bila datang?” tanya Indah bila menyedari kehadiran gadis itu di rumahnya.
Szajár membisu. Cukup berat untuk menjawab pertanyaan yang berbaur sindiran.
Tanpa mempedulikan Szajár, Indah masuk ke biliknya.
Sunyi.
Seluruh rumah menerjah kosong di telinga Szajár.
Dia bungkam. Tangannya bermain Xyuhrt.
Bosan bertambah.
Indah keluar dari bilik menuju ke arah Szajár yang masih setia menatap skrin Jerty yang mengandungi maklumat tentang hiburan semasa.
“Szajár, ibu aku mana?” tanya Indah sambil tangannya memegang gelas untuk dihulurkan ke dalam Ngharj.
Kosong lagi.
Szajár diam. Mencari peluang.
Bisu dia seribu bahasa.
Indah mendekatinya seberapa ketika. Sedar akan kealpaan Szajár, dia rapat ke telinga gadis itu.
“Ibu aku mana?”
Pertanyaan Indah kali ini berbalas kejutan dari Szajár.
Szajár terpinga-pinga. Tidak menyedari kehadiran Indah.
“Apa ni!!!!!!” jeritnya marah.
“Indah dahlah tu, Tak habis-habis nak mengusik Szajár” kata-kata Martiqa menyepikan ketawa kecil Indah dan kemarahan Szajár.
Suara wanita itu betul-betul mengejutkan mereka berdua. Martiqa melabuhkan punggungnya di atas kerusi elastik betul-betul di depan Szajár yang kembali asyik melihat Jerty.
“Indah tadi ke mana?” Martiqa memulakan bicara.
“Macam biasa ibu, jumpa Siti Zubeidah.” Sikap terus terang Indah memang tidak boleh dihalang biarpun dia tahu apa yang akan dikatakannya itu mungkin akan menimbulkan kemarahan Martiqa.
Dia tersenyum manis.
Cantik.
“Ibu bimbang, Siti tu dari B-13 yang berseteru dengan kita. Nanti apa orang kata?” memandang ke arah Szajár penuh sindirian.
“Pedulikan itu, bu. Biarkanlah. Siti tu budak baik. Dia ajar Indah tentang banyak subjek universiti yang Indah sendiri tidak tahu sebelum ini” jawab Indah perlahan.
“Bahasa…” belum sempat lagi perkataan Melayu keluar dari mulut Szajár, telapak tangan Indah lebih dahulu menutup mulut yang celupar itu.
Szajár bengang.
Digigit pekup jari Indah. Merah padam muka Indah menahan kesakitan. Dia arif sangat dengan perangai Szajár. Semua perkara cuba dihebohkan gadis itu tanpa usul periksa.
“Alah ibu, perkara macam ni tak usahlah dibesar-besarkan. Pandailah Indah mengatasinya.” tangannya dikibas-kibasnya cuba menghilangkan kesakitan.
Dia beransur dari situ. Keluar ke pintu utama.
Setelah memerhati bayangan Indah hilang, Martiqa terus kembali menuju ke biliknya. Sambil melangkah dia berpesan kepada Szajár.
“Kalau Szajár nak balik, panggilkan ibu di dalam ya, ibu ada kerja” pintu utama yang memisahkan biliknya dengan ruang tamu tertutup sebaik sahaja dia melangkah masuk.
Szajár bersandar dan memerhati ke sekeliling. Tangannya meraba-raba mencari sesuatu dari dalam beg sandang Indah. Pad berwarna merah jambu dikeluarkan, lalu ditukarkan dengan Xyuhrt kepunyaannya.
Sjazar bangun dari situ dan terus melangkah keluar.
Martiqa dari dalam bilik memerhati gerak-geri gadis itu.
Dia tersenyum.
* * *
Berjalan kaki sejauh lima belas kilometer dari kampus universiti ke B-13 adalah perkara biasa bagi Siti Zubeidah. Jarak yang sejauh itu sudah menjadi rutin.
Dengan adanya kemudahan awam yang berteknologi tinggi, segala kerja telah menjadi senang. Tapi di sebaliknya, kemajuan itu juga membawa kemusnahan. Dunia telah menyaksikan kemusnahan yang tidak dijangka.
Angkara manusia.
Perang Dunia Ke-3 meletus pada tahun 2055 telah menyebabkan keseluruhan benua Amerika dan Eropah musnah. Letupan nukleur dan kesan radioaktif telah mengorbankan hampir suku penghuni bumi. Di serata dunia sudah tiada keamanan. Ledakan terbesar telah menenggelamkan Jepun dan hampir separuh China. Penduduk Asia Timur menerima nasib yang sama seperti negara-negara barat.
Hancur.
Lenyap.
Punah harapan penduduk Malaysia di saat itu.
Namun pemerintah negara bijak.
Rakus.
Rakus untuk mengambil kesempatan dengan kemusnahan dunia untuk menguasai takhta pemerintahan bumi. Malaysia menjadi dalang apa perkara pun yang timbul. Menjadi pembekal senjata nukleur kepada negara-negara yang belum ranap dari ledakan senjata itu. Yang rakus bakal dibalas dengan kerakusan jua, Malaysia ditimpa bencana yang tidak disangkakan.
Pada hari-hari terakhir perang, sedikit demi sedikit air laut menenggelamkan negara yang tidak setinggi mana ini. Paras lautan mendadak naik akibat peleburan ais di kedua-dua kutub dunia.
Tenggelam. Lenyap.
Yang tinggal hanya kepulauan bertaburan di puncak banjaran Titiwangsa.
Ketika itulah pemimpin-pemimpin negara dan penduduk Malaysia yang masih tinggal bersepakat membina sebuah kota metropolitan di atas salah sebuah pulau. Dengan teknologi yang ada projek tersebut berjaya mewujudkan sebuah negara baru di tengah-tengah lautan dunia.
Di sinilah.
Kota Malaysia.
Di tempat Siti Zubeidah berdiri sekarang.
Siti Zubeidah mengerling ke arah ibunya yang asyik meneliti sayur-sayuran yang ditanam dengan kaedah hidrofonik yang masih dipraktikkan oleh hampir keseluruhan penduduk B-13. Tanah yang sempit milik mereka tidak menghalang untuk bercucuk tanam. Tiada harapan pada kesuburan tanah milik mereka itu kerana ia telah ditebus guna dari sebuah loji pembuangan sampah.
“Siti dah solat Zohor?” Tegur Hazlinah yang bertudung putih.
“Belum, bu.” Balas Siti Zubeidah.
Siti Zubeidah memandang ke arah rumahnya. Bangga punya rumah seperti itu. Bercirikan tradisional Melayu. Masih mengekalkan warisan turun temurun masyarakat Melayu. Adat Melayu masih menjadi teras kehidupan hari demi hari. Agama Islam masih menjadi pegangan utuh setiap masyarakatnya walaupun kiblatnya entah di mana sekarang. Namun ajaran Yang Maha Esa tetap utuh di hati mereka.
Dia duduk di atas anak tangga rumah. Asyik memerhati Hazlinah. Kelopak mata terkebil-kebil menahan bayu petang.
“Siti, bukan ibu larang Siti kawan dengan Indah, tapi nanti apa orang kata, nak?” sapa Hazlinah.
“Pedulikan kata orang, bu. Indah tu baik orangnya” balas Siti Zubeidah tegas.
“Itu ibu tahu, nak. Tapi Indah tu dari sebelah sana” tegas Hazlinah sambil keningnya mengerling ke arah sektor B-11 di utara.
“Apa bezanya? Mereka pun orang Melayu jugak” Siti Zubeidah masam mencuka.
“Tapi Siti, mereka tu bukanlah orang yang baik-baik, nak” Hazlinah mengesat peluh di dahi. Tangannya memegang cungkil berbalutan tanah.
Siti Zubeidah semakin hari semakin berubah. Jauh berlainan sekali dengan anak lelakinya.
Anak itu semakin sukar dikawalnya. Kecekalan itu yang digeruni.
Dia memerhati riak wajah Siti Zubeidah.
Hatinya berdebar.
bersambung…
